Asal-usul Wayang Kulit Siam Wayang kulit Kelantan

Sejarah mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam masih kabur dan kurang jelas hingga ke hari ini. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi mencari bukti mengenai asal-usul kesenian ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang telah diutarakan oleh para pengkaji mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:-

Wayang Kulit Siam berasal dari Thailand

Satu teori menyebut tentang Wayang Kulit Siam yang dikatakan berasal dari Thailand. Teori ini ialah teori yang paling kuat. Terdapat beberapa bukti yang menyokong teori ini. Di antaranya ialah nama wayang kulit itu sendiri iaitu 'Siam', ialah nama lama bagi negara Thailand. Manakala Wayang Kulit Kelantan ialah sebutan pada era yang belum lama lagi. Naskah dari Palembang pula menyebutnya sebagai Wayang Kulit Siam. Bentuk dan corak pakaian Wayang Kulit Siam nampak seperti pakaian bangsawan Siam. Selain itu, penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam seperti pengucapan Mantera Maharisi oleh dalang juga menyokong teori tersebut.

Dasar daripada Wayang Kulit Siam atau Wayang Kulit Kelantan dapat dikatakan berasal dari Siam lalu dikembangkan oleh Patani lalu dikembangkan oleh Kelantan. Daripada jalan penyebaran inilah, wayang kulit ini diberi nama Wayang Kulit Siam. Teori ini disokong beberapa orang sejarawan dan pengkaji budaya memandangkan ianya berdasarkan fakta sejarah.

Wayang Kulit Siam berasal dari Patani

Teori lain menyebut Wayang Kulit Siam berasal dari Patani, bekas negeri kesultanan Melayu di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dikatakan telah berkembang dari Patani ke Kelantan ketika zaman di mana Kelantan masih berada di bawah pengaruh Kesultanan Melayu Patani.

Wayang Kulit Siam berasal dari Kelantan

Satu lagi teori mengatakan Wayang Kulit Siam berasal daripada Kelantan. Bentuk persembahan Wayang Kulit Siam yang wujud pada hari ini adalah khas Kelantan. Oleh itu, sejarah Wayang Kulit Siam bolehlah dianggap bermula di Kelantan. Selain itu, persembahan Wayang Kulit Siam di Malaysia juga sentiasa disampaikan dalam Bahasa Melayu Kelantan tidak kira di negeri mana sekalipun ianya dipersembahan.